Selasa, 25 Februari 2014

Adun BN Selangor sambut baik kenaikan gaji persoal peratusan tidak adil

Oleh Mohd Farhan Darwis November 28, 2013
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Selangor menyambut baik kenaikan gaji wakil rakyat yang akan berkuatkuasa 1 Januari 2014, namun mempersoalkan kadar peratusan yang begitu ketara antara Adun dan beberapa jawatan lain seperti exco, dan speaker.

Adun Permatang Sulaiman Abdul Razak membangkitkan contoh gaji timbalan speaker yang memperoleh kenaikan sehingga melebihi 300% sedangkan Adun hanya menikmati kenaikan 87%.
"Bukan saya tak puas hati Adun naik 87%, tetapi tak seimbang dari segi peratusannya," katanya ketika ditemui The Malaysian Insider ketika sesi Dewan Undangan Negeri (DUN) bersidang hari ini. 

"Jumlah ringgitnya terpulang kepada kerajaan (negeri), tetapi cuma peratusan itulah," katanya, di Shah Alam.
Sulaiman bagaimanapun berkata, kenaikan gaji Adun berkenaan daripada RM6,000 sebelum ini kepada RM11,250 ada kewajarannya.

"Waktu kerja kita tak tentu, hujung minggu bekerja," katanya.
Rakan beliau daripada BN, Adun Semenyih Datuk Johan Abd Aziz turut menyokong kenyataan Sulaiman, namun turut mempersoalkan kerajaan Selangor adakah kenaikan berkenaan akan terhenti sehingga tahap itu sahaja.
"Kita tak tahu garis panduan mana yang digunakan sehingga naik mendadak seperti itu.
"Adakah kenaikan ini selamanya? Mati di situ (tangga gaji)?" soalnya ketika ditemui pemberita.
Selain kenaikan gaji Adun, gaji menteri besar turut dinaikan daripada RM14,175.15 kepada RM29,250; anggota exco kerajaan negeri daripada RM6,109.29 kepada RM20,250; speaker DUN  daripada RM6,109.29 kepada RM22,500; dan timbalan speaker daripada RM3,327.50 kepada RM15,750.

Kali terakhir pindaan gaji dibuat ialah pada 2011. Abdul Khalid ketika membentangkan rang undang-undang itu berkata mesyuarat exco pada November 22 bersetuju menaikkan kadar gaji itu berdasarkan formula 75% daripada elaun dan gaji yang diterima Adun dan anggota pentadbiran Sarawak.
Adun Kuang, Abdul Shukur Idrus turut berkata kenaikan berkenaan tidak seimbang dan menyeru semakan dibuat.
"Kaji semula gaji Adun," katanya, dan menambah gaji speaker, menteri besar dan timbalan speaker termasuk exco tidak seharusnya mengalami kenaikan begitu mendadak.
"Sedangkan mereka tahu kerja Adun macam mana," katanya lagi. – 28 November, 2013 TMI

0 komentar:

Posting Komentar

 
Copyright © 2012. pintar baca - Posts · Comments
Powered by Blogger