Selasa, 04 Februari 2014

Pakatan cadang dua timbalan Speaker Parlimen dari kedua dua pihak

Oleh Md Izwan
June 20, 2013
Pakatan Rakyat (PR) mencadangkan supaya pelantikan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat (Speaker) daripada wakil kedua-dua belah pihak PR dan juga Barisan Nasional (BN) agar kesaksamaan dapat dilaksanakan.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Majlis Pimpinan PR telah memutuskan ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaafar sebagai calon bagi jawatan tersebut.
"Bagi membantu Yang di-Pertua tersebut mengendalikan persidangan, seorang timbalan hendaklah dilantik dipilih dari kalangan seorang ahli Parlimen Barisan Nasional dan seorang lagi ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

"Sehubungan itu, Pakatan Rakyat bersetuju mencalonkan ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaafar bagi jawatan tersebut," kata Anwar selepas selesai mesyuarat Pimpinan PR di ibu pejabat PAS di sini.

Dalam pada itu, Anwar juga mengulangi pendirian untuk mencalonkan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman sebagai Speaker ke-13 dan usul tersebut telah pun dhantar oleh ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Tan Sri Khalid Ibrahim pada 10 Jun lalu.
"PR sudah menyatakan hasrat dimana Tan Sri Khalid Ibrahim sendiri telah menghantar cadangan tersebut kepada Parlimen," terang Anwar lagi.

Di samping itu juga, Anwar memberi amaran supaya proses pengundian Speaker dilakukan dengan telus dan menerusi peti undi rahsia bagi memastikan tiada sebarang penipuan berlaku.
"Saya memberikan peringatan mudah bahawa Speaker yang tidak berat sebelah dan dilakukan menerusi peti undi rahsia untuk melantik Speaker.
"Kami cuba memastikan kami bermula dengan bersih. Jika kita tidak menghormati Parlimen dan membuta-tuli dalam pemilihan Speaker, maka akan berlaku satu pertarungan yang besar dalam Parlimen," tambahnya lagi.

Semalam, Anwar berkata ke semua 89 ahli Parlimen PR tidak akan memboikot majlis angkat sumpah Dewan Rakyat pada 24 Jun nanti sebagai menghormati prinsip demokrasi walaupun mereka telah memboikot sesi taklimat pertama ahli-ahli Parlimen pada 11 Jun yang menyaksikan kehadiran 111 anggota Parlimen yang dipilih pada Pilihan Raya 2013, dengan hanya seorang wakil pembangkang, ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa yang hadir.

Majlis Pimpinan PR telah membuat keputusan memboikot taklimat itu pada mesyuarat lalu untuk menunjukkan bantahan terhadap pemerintah BN kerana enggan memenuhi tuntutan reformasi pilihan raya.

Sebaik sahaja pilihan raya 5 Mei berakhir, pemimpin pembangkang telah membuat beberapa siri pendedahan yang didakwa sebagai penipuan sebagai tekanan daripada pembangkang untuk Putrajaya melakukan reformasi pilihan raya, bermula dengan melengkapkan pembaharuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ketiga-tiga parti PR juga mengesahkan untuk memfailkan 41 petisyen pilihan raya — tiga oleh DAP, 20 oleh PKR dan 18 oleh PAS — sebelum tarikh akhir 12 Jun.

Akan tetapi selain daripada petisyen di mahkamah, PR dan kumpulan masyarakat sivil lain telah menganjurkan perhimpunan besar-besaran selepas 5 Mei untuk mendesak agenda reformasi, meletakkan tiga syarat utama dengan pertama mensyaratkan peletakkan jawatan semua anggota SPR kerana kegagalan untuk memastikan Pilihan Raya 2013 bebas dan adil.

Perhimpunan “Black 505” seperti yang digelar, juga dikhaskan sebagai gerakan untuk membantah kecurangan seperti didakwa PR semasa pilihan raya, menyaksikan BN terus berkuasa walaupun kehilangan undi popular.

Pada 22 Jun, PR akan berhimpun di Padang Merbok untuk meneruskan bantahan terhadap keputusan Pilihan Raya 2013. - 20 Jun, 2013.
The Malaysian Insider

0 komentar:

Posting Komentar

 
Copyright © 2012. pintar baca - Posts · Comments
Powered by Blogger