Selasa, 04 Februari 2014

KEMALANGAN Akhirnya Bertemu ‘Kekasih Abadi’…

KEMALANGAN: Akhir Bertemu Kekasih Abadi....

AYER KEROH – Persoalan mengenai jodoh di dalam laman sosial Facebook seorang pemuda akhirnya terjawab apabila dia akhirnya menemui ‘kekasih’ abadi selepas maut dalam kemalangan di sini, malam kelmarin.
‘Siapalah jodoh aku agaknya ya…’ adalah status terakhir yang sempat ditulis dalam laman sosial tersebut oleh Mohd Khairil Zulkifli, 27, pekerja Pusat Pendidikan Pelajaran di Kota Fesyen, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) sebelum menemui ajal apabila motosikal ditunggangnya berlanggar sebuah kereta di persimpangan masuk ke Taman Tasek Utama di sini.
Menurut ibunya, Jamaliah Ali, 50, dia sering meminta anak sulung daripada lima beradik itu berkahwin namun hanya dibalas dengan gelak ketawa.
“Dari dulu saya selalu cakap dengan dia supaya cepat cari jodoh, namun dia hanya gelak besar. Tapi pagi semalam (kelmarin) rupanya-rupanya dia ada tulis tentang persoalan jodoh dalam Facebook, dan tak sangka juga itu petanda dia pergi meninggalkan kami,” katanya.
Menurut Jamaliah, dia yang terkejut mendapat berita mengenai anaknya itu bergegas ke Hospital Melaka dari rumahnya di Selandar, Jasin.
“Dia keluar rumah kira-kira jam 7 pagi dan kebiasaannya akan balik ke rumah antara jam enam petang dan sebelum lapan malam. Namun semalam (kelmarin) sehingga 8.30 malam dia masih balik sebelum saya diberitahu polis dan kawan kepada anak saya.
“Sebelum keluar rumah memang tiada perubahan ketara pada dirinya namun dia yang pendiam dilihat banyak bergurau dengan adik-adiknya kebelakangan ini,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan bilik mayat Hospital Melaka di sini, semalam.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Muhammmad Koey Abdullah yang mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa terbabit kemalangan jam 8 malam.
“Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha FZ berlanggar dengan Proton Satria yang dipandu wanita ketika sampai di Jalan Mitc berhampiran Balai Polis Ayer Keroh.
“Mangsa datang dari arah bulatan MITC menghala persimpangan Seri Negeri, berlanggar dengan kereta yang dinaiki tiga penumpang berkenaan yang mahu masuk ke arah Taman Tasek Utama,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.
“Tiga penumpang kereta yang cedera dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. - SINAR HARIAN
KEMALANGAN: Akhir Bertemu Kekasih Abadi....

0 komentar:

Posting Komentar

 
Copyright © 2012. pintar baca - Posts · Comments
Powered by Blogger